Kisah Felixia Yeap Peluk Islam

Kisah Felixia Yeap peluk islam telah membuatkan ramai orang berbangga dengan keputusan yang di buat tu. Seperti yang dikatakan Felixia akan peluk islam secara rasminya pada hari ni 3 Julai, 5 Ramadhan. Semoga segala urusan Felixia dipermudahkan oleh Allah SWT.

Felixia Yeap
Credit Image :google

Semoga Felixia tabah menghadapi ujian Allah selepas ini dalam mengharungi kehidupan yang baru sepertimana yang dia telah lalui pelbagai dugaan dengan perubahan yang telah dia buat. Tersentuh hati membaca kisahnya "kelahiran semula ku "yang ditulis di blog.

Mengikut sumber dari felixiayeap.blogspot.com

Assalammualaikum.
Sejak beberapa bulan ini, dari saat saya bertekad sebulat hati mengenakan hijab walaupun sebagai seorang yang belum Islam hatinya, hingga ke saat ini (3 Julai, sekarang pukul 6 pagi baru lepas Sahur), di mana saya telah Islam di hati, cuma tinggal perasmian sebagai seorang Islam di atas kertas dan di depan 4 orang saksi...saya telah mengharungi pelbagai dugaan.
Bantahan.
Makian.
Sindiran.
Fitnah.
Penyisihan.
Tekanan.
Tetapi syukur Alhamdullilah...saya juga dapat sokongan yang begitu hebat, yang menyentuh hati dan sokongan positif inilah yang serba sedikit menyumbang kepada saya untuk terus beristiqamah.
Dan saya harus berterima kasih juga dengan kedegilan saya.
Terkenal juga dengan kepala batu saya, saya tidak mudah mengalah.

Ya...saya mengaku, banyak kali saya rasa tumpas, tewas dan menangis atas semua yang negatif dan kasar terhadap saya.

Namun, saya tetap tidak tanggalkan hijab saya.
Saya tetap teruskan perjalanan.

Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila beliau, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir) dan

seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya.tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya.

Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik.
Ibu kata saya dah matang, dah dewasa akhirnya.
Dalam dialek Kantonis, bila saya bermanja dan menanya kenapa beliau merestui keputusan saya, beliau menjawab, "Sang seng jor lor, dai gor nui la...kwai jor hou dor."

Ibu saya senyum, dan saya menahan air mata.
Rata-rata, ramai mualaf yang dibuang keluarga dan disisihkan keluarga kerana keputusan yang sama, dan ada segolongan pula yang terpaksa menyembunyikan identiti mereka sebagai seorang Islam daripada keluarga dan orang ramai kerana takut dibuang keluarga dan disisihkan.

Saya mengaku, jika ayah saya tidak meninggalkan kami sekeluarga, mungkin perkara yang sama akan berlaku pada diri saya. Tetapi Allah Maha Mengetahui.

Mungkin ini juga salah satu hikmah dari penceraian ibu dan ayah.
(Ibu saya jauhhhh lebih bahagia sekarang juga, ALHAMDULLILAH!)

Ia memaksa saya untuk berdikari pada usia muda, menjaga adik sehingga saya habis SPM dan terus meninggalkan Ipoh untuk mencuba nasib seorang diri di Kuala Lumpur dengan hanya RM300 sebulan sementara saya belajar di sebuah IPTS. 

Apabila sudah dihentikan saluran duit satu hari, saya keluar bekerja kerana saya tidak ingin melihat ibu saya terus bersusah payah menggunakan duit simpanan beliau yang tidak seberapa untuk menyara kami adik-beradik. 

Tambahan pula, adik saya perlu (dan saya pastikan) menyambung pelajaran dan perlu wang untuk membiayai yurannya.

Saya mula memikul tanggungjawab menyara keluarga.
Pada masa itu, saya tidak ada agama (saya dibesarkan di keluarga yang tidak percaya kepada mana-mana agama atau Tuhan), tidak ada apa-apa bimbingan agama...cuma berbekalkan nasihat dari ibu saya; iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

Namun sebagai seorang naif yang tidak tahu apa-apa tentang dunia, tipu helah dan godaan manusia (Ya, keputusan SPM yang baik tidak menjamin anda akan selamat dengan tipu helah dunia)...saya juga mula terikut-ikut dengan orang di sekeliling saya.

TETAPI, saya cuba sedaya upaya yang boleh untuk melindungi diri saya dan pada masa yang sama mencari nafkah untuk dihantar balik ke rumah untuk ibu dan adik. Saya kekalkan pendirian untuk tidak sentuh arak, rokok, atau dadah.

Pernah banyak kali dipaksa, tetapi kedegilan saya untuk menurut paksaan dan suruhan orang lain menyelamatkan saya dari terjerumus sekali dengan yang lain.

Dengan mata saya sendiri saya sepanjang hampir 10 tahun saya terlibat dalam bidang modeling, saya pernah lihat pelbagai jenis manusia dan cara kehidupan yang dikatakan "mewah" dan bahagia.
Mewah juga disamakan dengan kebahagiaan.

Orang di sekeliling saya pada masa itu kebanyakkannya mengukur kebahagiaan dengan kekayaan teman lelaki, apa parti yang paling "happening" yang mereka dapat pergi, rasa "happy" janji dapat minum dan mabuk, berapa yang boleh dikikis dari lelaki kaya yang memikat, dan kebanyakkan mendahagakan kemewahan dan dicari tanpa mempedulikan harga diri.

Tetapi bagi saya, itu bukan kemewahan yang saya cari. Sebab apa gunanya punyai kemewahan tetapi hidup rasa kosong, tidak bermakna dan bergelumangan dengan dosa?

Itu bukan kebahagiaan yang saya carikan.
Saya pernah cuba mencari Tuhan.
Cuba mendekati diri dengan Tuhan.

Saya pernah pergi ke gereja Katolik setiap Ahad petang selama 2 tahun.
Saya pernah cuba memahami agama Kristian.
Saya pernah cuba mencari makna dalam penyembahan berhala Dewa Kuan Yin dan sebagainya.
Saya juga pernah cuba mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.
Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan.

Hati saya tidak pernah rasa tersentuh.
***Harap jangan salah faham, di sini saya cuma ingin menekankan bahawa saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Saya hanya menjelaskan apa yang saya rasa dari hati.
Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih redha, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dengan hidup yang serba sederhana.

Duit dan kemewahan tidak lagi menarik perhatian saya sepertimana dahulu.
Saya tidak lagi rasa "impressed" atau teruja dengan kereta sport, bag mahal, kehidupan glamor, atau cita-cita tinggal di rumah besar dan mewah.

Ya, tidak dapat dinafikan, jika ada semua ini, bukan benda yang buruk, malah bonus kehidupan...tetapi wang dan kemewahan tidak dapat membeli rasa bertaubat, rasa ingin menjadi seorang yang lebih baik, ketenangan, keredhaan dan kebahagiaan.

Sepanjang hampir 7 bulan saya berhijab dan mengenali agama Islam, saya banyak menangis.
Bukan dalam kesedihan, tetapi dalam rasa penyesalan kehidupan yang dulu dan rasa ingin bertaubat.
Seringkali saya merintih dalam bisikkan yang saya ulang tanpa henti, "Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa saya!"

Pada kali pertama saya melihat video pengislaman dan pengucapan seorang wanita, saya tidak dapat henti menangis.

Pada saya, dia amat bertuah kerana Allah SWT memilih dia untuk diselamatkan.
Masa itu...saya masih tidak tahu apa itu hidayah dan taufiq.
Dan pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup saya...saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi.

3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadhan 1435.
Saya yang telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan 2 kalimah syahadah saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakkan pada saya supaya terus istiqamah.

Tidak ada sebarang media yang akan hadir.
Hari ini bukan hanya saja Hari Lahir saya...tetapi juga Hari Kelahiran Semula saya.
Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.

P.S: Saya masih berbangsa Cina, dan akan berkeras mengekalkan nama Cina yang diberi ibu saya. Nama Cina saya dalam bermaksud "Ketenangan, Keanggunan" atau di dalam bahasa Inggeris, "Silent Grace".

Saya cuma akan menambah nama kurniaan dari mimpi saya di hadapan nama asal.
Kisah Felixia Yeap Peluk Islam
Terima kasih semua atas sokongan anda. =)
Felixia memilih nama "Rania" sebagai nama Islamnya. Alhamdulillah semoga perubahan Felixia ni membuka mata wanita Islam supaya lebih fahami Islam dan mengingati Allah. Lagi lagi bulan puasa ni, moga ada hidayah kepada mereka untuk berubah kepada yang lebih baik. 

InshaAllah..semoga perubahan di bulan Ramadhan ni membawa istiqamah seterunya. Kalau tak berubah sekarang bila lagi kan?

Kisah Felixia Yeap Peluk Islam
Sumber :google
Kisah Felixia Yeap Peluk Islam
sumber :google
 *Updated: 10:23pm, 3 Julai 2014

Notapink : Setiap manusia pernah buat silap dan kadang kala jahil tapi jika tak buat perubahan selamanya akan begitu. Biarkan dan lupakan kesilapan dulu. Mulakan hidup yang baru yang lebih baik dan ketika itu InshaAllah hati akan tenang. Percayalah.

20 comments:

  1. Alhamdulillah.. harini dia bergelar mualaf baru. tahniah buat rania felixia :) semoga ramadhan kali ini lebih bermakna

    ReplyDelete
  2. semoga beliau istiqamah dan Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayah buatnya dan kita semua..

    ReplyDelete
  3. alhamdulilah.bertuah sekali kerana mendapat hidayah ALLAH

    ReplyDelete
  4. Syukur alhamdulillah.. bertambah lg seorang umat islam di bulan mulia..
    semoga dia dpt teruskan amalan & mendapat bimbingan yg betul..

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah..kadg2 malu dengn kite yan dh bergelar islam ni..baguslah maknyer tak bantah

    ReplyDelete
  6. Wahhh Alhamdulillah, ena sangat kagum dengan diri dia. Ya Allah

    ReplyDelete
  7. alhamdulillah..dia dipilih oleh Allah swt..sebagai umat islam,kita kena sokong tindakannya tu...

    ReplyDelete
  8. alhamdulillah bertambah lagi umat islam kan..

    ReplyDelete
  9. Alhamdulillah.. rasa kagum dengan ketabahan dia untuk meneruskan menjadi Islam sejati..

    ReplyDelete
  10. Alhamdulillah...semoga Felixia teguh imannya...amin,....

    ReplyDelete
  11. alhamdulillah..subhanallah..beliau insan terpilih...bertambah saudara kita :)

    ReplyDelete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.