Doa Memohon Murah Rezeki Dan Jodoh

Rezeki setiap orang berbeza. Begitu juga dengan jalan cerita kehidupan masing-masing. Kalau kita merasakan kehidupan kita serba susah, kena ingat bahawa ada orang hidupnya lebih susah dari kita. 

Sebaiknya kita berhenti mengeluh tentang rezeki kerana rezeki itu adalah rahsia Allah. Begitu juga dengan jodoh.

Apa yang perlu kita buat adalah berusaha, berdoa, bersedekah, amalkan kebaikan, solat dhuha dan banyak lagi amalan untuk dimurahkan rezeki. Janganlah sekali kali kita merasa putus asa. Walaupun dunia sekarang serba mencabar dugaannya dengan harga barang melambung lambung naiknya.

Ketahuilah Allah amat menyukai hambaNya yang berusaha. Jangan dilayan kemalasan dan meminta-minta. Apatah lagi tidak berusaha untuk mencari rezeki dengan cara yang baik dan tidak berkat.

Banyak amalan doa dimurahkan rezeki yang boleh kita amalkan, salah satunya saya tertarik dengan doa Nabi Musa memohon rezeki dan jodoh perkongsian UEL.

Seorang pemuda mengadu kepada seorang ulama' Saudi, Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid bahawa dia belum berkahwin, tiada kerja bahkan tiada rumah. Lalu syeikh menganjurkan pemuda tersebut agar membaca doa Nabi Musa alaihissalam ini.

Nabi Musa alaihissalam telah diuji Allah apabila terpaksa melarikan diri dari Mesir dalam keadaan tidak berkahwin, tiada pekerjaan dan tiada tempat tinggal. Ketika sampai di Madyan, baginda telah menolong dua orang perempuan memberi kambing minum lalu baginda duduk di bawah sepohon pokok seraya berdoa dengan doa ini.

Akhirnya berkat doa tersebut Allah mengurniakan baginda isteri, kerja dan tempat tinggal.

Doa ini tercatat dalam al-Quran dalam surah Al-Qasas, ayat ke 24:

رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

(Rabbi inni lima anzalta ilayya min khairin faqiir)

Maksudnya: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan".
- (Surah al-Qasas: 24)

doa murah rezeki dan jodoh

Syeikh Muhammad Soleh menganjurkan agar doa nabi Allah Musa ini diperbanyakkan sehingga ditakdirkan Allah Yang Maha Pemberi Rezeki menurunkan rezeki melimpah yang tak disangka-sangka, juga jodoh yang baik. 

Allah maha baik. Dia akan memberikan apa yang kita perlukan daripada apa yang kita mahukan tepat pada masanya. Janganlah kita dengki dengan rezeki orang lain. Mungkin usaha kita tak sehebat usaha dia. Selain usaha, faktor dalaman juga perlu diambil kira untuk kita terus dilimpahi rezeki oleh Allah SWT.

Amalan serta doa, zikir, selawat murah rezeki mustajab

Selain berdoa, kita juga dituntut untuk melakukan amalan yang baik dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh sebagai salah satu usaha supaya kita berjaya, dimurahkan rezeki dan wajib yakin rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.
  • Tidak meninggalkan ibadah kepada Allah
  • Memperbanyakkan istighfar dan zikir
  • Tidak melakukan dosa dan hindari daripada melakukannya
  • Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah
  • Berbuat baik dan sering mendoakan kebaikan ibu bapa
  • Amalkan doa murah rezeki
  • Memperbanyakkan sedekah
  • Sentiasa memberi pertolongan atau menolong mereka yang memerlukan
  • Memudahkan urusan orang lain
  • Berbuat baik sesama manusia dan menjaga silaturahim
  • Sentiasa memuliakan tetamu yang datang kerumah
  • Menunaikan solat dhuha setiap hari tanpa henti
  • Tidak berputus asa untuk berdoa
  • Bertawakal kepada Allah SWT

1. Doa Murah Rezeki

Kita boleh amalkan doa murah rezeki seperti dalam gambar di bawah iaitu doa yang telah dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Anas bin Malik RA.

اَللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ ووالسع له في داره وَبَارِكْ لَهُ فيما اعطيته واحسن اعماله والغفرله

Allahumma aksir maalahu wa waladahu, wa wassi’ lahu fi darihi, wa bariklahu fi ma a’toitahu, wa ahsin a’malahu, warghfirlahu.

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anak-anak-anaknya dan luaskanlah rumahnya dan berkatilah apa yang telah engkau kurniakan kepadanya dan perbaikilah amalannya dan ampunkan untuknya” 

- (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


2. Selawat Murah Rezeki

Bacaan Sholawat Litawsi’il Arzaq

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَاةً تُوَسِّعُ بِهَا عَلَيْنَا الْأَرْزَاقَ وَيُحْسِنُ بِهاَ لَناَ الْأَخْلَاقَ وَعَلَى آلِهِ وِصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

Allahumma sholli ‘ala sayyidina muhammadin sholatan tuwassi’u biha ‘alainal arzaqa wa tuhassinu biha lanal akhlaqa wa ‘ala alihi wa shohbihi wa sallim

Maksudnya : “Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami, Nabi Muhammad SAW, rahmat yang meluaskan rezeki bagi kami, yang menjadikan akhlak kami baik, dan semoga Allah melimpahkan rahmat kepada segenap keluarga dan sahabatnya.”

Amalkan selawat ini dengan ikhlas berselawat ke atas Nabi SAW. Mudah-mudahan kerana  selawat ke atas Nabi ini kita diluaskan dan dilapangkan rezeki dengan cepat tanpa disangka-sangka dengan keberkatan.

3. Amalan Ayat Seribu Dinar

Ayat Seribu Dinar adalah ayat suci Al-Quran yang dipetik dari surah Al-Talaaq dari ayat 2 & 3.

“Barangsiapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

وَمَن یَتَّقِ ٱللَّهَ یَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجࣰا
۝ وَیَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَیۡثُ لَا یَحۡتَسِبُۚ وَمَن یَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَیۡءࣲ قَدۡرࣰا

- (Surah At-Talaq 2 - 3)

Maksudnya : “Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar (dari masalah hidup). Dan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. 

Cara amalkan Ayat 1000 Dinar

Ayat 1000 dinar malkan setiap kali selepas solat Subuh. Lebih baik sekiranya dapat diamalkan setiap kali selepas solat fardu. Baca ayat ini sebanyak 7 kali dan ulang 3 kali pada ayat “Wa yarzuqu min haitsu laa yahtasib.”

Istiqamah membacanya sebagai amalan harian berserta tingkatkan ketakwaan kepada Allah.

4. Amalan membaca Surah Al Waqiah

Sabda Rasulullah SAW : 
“Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. 
- (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

“Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” - (Hadis riwayat Ibnu Ady)

“Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya, dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

5. Banyakkan Beristighfar

Memperbanyakkan beristighfar seperti di dalam surah Nuh ayat 10-12, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) sungai-sungai.

Banyakkan Bersedekah

Bersedekah adalah satu tips kunci rezeki. Sedekah adalah satu amalan yang ajaib (The power of sedekah). Ini kerana semakin banyak kita bersedekah semakin banyak Allah tambahkan lagi kekayaan untuk kita. Tetapi bersedekah itu mestilah dengan niat ikhlas kerana Allah SWT bukannya kerana sebab tertentu atau inginkan balasan.

Allah melipat gandakan pahala kepada orang yang bersedekah

Allah SWT berfirman :

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
- (Surah al-Baqarah, 261)

Janji Allah dalam Al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda.

6. Berbakti Kepada Ibu Bapa

Berbakti kepada ibu bapa antara amalan murah rezeki buat kita. Allah membuka pintu rezeki untuk kita seluas-luasnya jika kita berbuat baik, menjaga kebajikan, menjaga hati, tidak derhaka, sayang menyayangi dan juga mendoakan kepada ibu bapa kita.

7. Berbuat baik sesama manusia dan menjaga silaturahim

“Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungi sanak saudaranya.” 
- (Riwayat Bukhari)

8. Bertawakal kepada Allah

“Seandainya kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti kamu diberi rezeki sebagaimana burung yang diberi rezeki, ia pergi pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang petang hari dalam keadaan kenyang.” 
- (Riwayat Imam Ahmad, At-Tarmizi, Ibnu majah, dan yang lainnya)

Semoga kita semua dilimpahi rezeki halal dengan segala keberkatan serta hidup dengan tenang dan bahagia. Aamiin...

4 comments:

  1. Aminnnn...semoga murah rezeki semua dan dipanjangakan jodoh..semoga jodoh akak dipermudahkan

    ReplyDelete
  2. Aamin.. Semoga dimakbulkan Allah segala doa...

    ReplyDelete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.