Doa Ketika Anak Menduduki Peperiksaan Serta Zikir Dan Doa Terang Hati

Sekarang musim anak-anak menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) Bermula 29 November 2022 sehingga 5 Disember 2022. Selain berusaha mengulangkaji pelajaran, sokongan dan doa ibu bapa juga penting diiringi amalan berzikir dan berdoa.

Kepada ibubapa yang mempunyai anak yang akan menduduki peperiksaan, ibu bapa boleh amalkan doa ketika anak menduduki peperiksaan semoga dipermudah dan terang hati anak-anak menjawab soalan peperiksaan. Anak-anak juga boleh amalkan doa penerang hati.

zikir dan doa menghadapi peperiksaan

Doa ibubapa ketika anak menduduki peperiksaan

Ya Allah,
Ya Tuhan kami, Kami memohon keampunan-Mu, kami memohon kerahmatan-Mu, kami memohon taufik dan hidayah-Mu ya Allah.

Ya Allah, 
Ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak-anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru-guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah,
Ya Tuhan kami, permudahkanlah urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada-Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai-Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima-Mu.

Ya Allah,
Ya Tuhan kami, Ikhlaskanlah hati anak-anak kami untuk mempelajari ilmu-Mu. Tetapkanlah niat dihati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata-mata kerana-Mu ya Allah.
Ya Allah, kami memohon kepada-Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu-Mu ya Allah.

Ya Allah,
Tidak lama lagi, anak-anak kami akan menduduki peperiksaan ya Allah. Kami memohon kepada-Mu ya Allah, bantulah anak-anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi nanti ya Allah.

Ya Allah,
Peliharalah kesihatan anak-anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah,
Berikanlah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak-anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia menjadi pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba-Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada-Mu.

Jadikanlah anak-anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada- Mu, perbaikilah akhlak anak-anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah,
Jadikanlah anak-anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.
Ya Allah, apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak-anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak-anak sahabat kami ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,
Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah-Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya Allah, 
Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Anak yang menjadi penyejuk mata apabila kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke syurga-Mu ya Allah. Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka-Mu ya Allah. Tetapkanlah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Engkau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah, 
Kami tidak mampu untuk mengawasi anak-anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan-Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat-tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah, perkenankanlah doa-doa kami ini.
Amin ya Rabbal Alamin...

Zikir dan doa menghadapi peperiksaan

Keluar rumah
بِسْمِ ٱللَّهِ تَوَکَّلْتُ عَلَى ٱللَّهُ

Dalam perjalanan
يَا ذَٱلْجَلَالِ وَٱلْإِكْرَامِ

Masuk dewan periksa
سَلٰمٌ قَوْلًا مِّن رَّبِّ ٱلرَّحِيمِ

Duduk sebelum peperiksaan bermula
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينَ

Buka kertas soalan
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَاطَ اٱلْمُسْتَقِيمَ

Semasa menjaawab soalan
إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Ketika menghadapi soalan susah
وَكَانَ ذٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا

Semak jawapan
إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلٍيمًا

Hantar kertas peperiksaan
وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَلِيًّا وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ يَسِيرًا

Zikir dan doa menghadapi peperiksaan

1. Al-Fatihah 7 kali
2. Selawat 7 kali
3. Subhanallah 44 kali
4. Alhamdulillah 44 kali
5. Allahhu Akbar 44 kali
6. Ya Hayyu Ya Qayyum 21 kali
7. Teruskan dengan bacaan doa berikut :
"Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum,Ya Rahman,Ya Rahim, Ya Latif, Ya Jabbar, Ya Khaliq, Ya Allah permudahkanlah anak-anak kami di dalam urusan mereka dalam menimba ilmu di atas seruan dan perintah-Mu. Tenangkanlah hati mereka untuk menerima ilmu-Mu, lapangkanlah jiwa mereka untuk mengharungi ujian-Mu dan berkatilah mereka dengan rahmat-Mu".
Amin Ya Rabbalalamin...

Juga boleh baca doa ini setelah selesai solat hajat atau solat fardhu.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. pada hari esok (dan berikutnya) anak-anak kami, anak-anak didik kami, anak-anak saudara kami dan anak-anak sahabat kami yang amat kami kasihi akan berjuang menghadapi peperiksaan trial SPM.

Oleh itu, Ya Allah Kau kurniakanlah kesihatan walafiat, ketenangan jiwa, permudahkanlah, bukakanlah seluas-luas pintu ilham kpd mereka untuk memahami soalan, dapat menjawab semua soalan peperiksaan dengan jitu, tepat, cepat dan sempurna, dilembutkan hati pemeriksa agar memberi markah paling tinggi & kasihan kepada mereka. Ya Allah Yang Maha Esa.

Kau lapangkanlah dada mereka untuk menggunakan segala ilmu yg telah diajar oleh guru-guru kepada mereka. Kau kurniakanlah kepada mereka keputusan yg cemerlang untuk bekalan dunia & akhirat.
 

Doa terang hati untuk peperiksaan

Doa terang hati 1 
اَللَّهُمَّ ﭐفْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَﭐنْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ رَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ 
Maksudnya : Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-Mu dan limpahkanlah ke atas kami khazanah-Mu, Wahai Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Doa terang hati 2 
اَللَّهُمَّ نَوِّرْ قَلْبِيْ بِنُوْرِ هِدَايَتِكَ كَمَا نَوَّرْتَ ﭐلأَرْضِ بِنُوْرِ شَمْسِكَ أَبَدًا بِرَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ 
Maksudnya : Ya Allah, terangilah hatiku dengan cahaya petunjuk-Mu sebagaimana Engkau bumi dengan matahari-Mu selama-lamanya, Ya Allah Yang Maha Mengasihani. 

3. Doa untuk membuka hati 
اَللَّهُمَّ اَلْهِمْنِيْ رَشْدِيْ وَقِنِيْ شَرَّ نَفْسِيْ
Maksudnya : Ya Allah, berikan aku petunjuk dan peliharalah aku dari kejahatan sendiri.

4. Doa semasa belajar 
اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا فُتُوْحَ ﭐلعَارِفِيْنَ وَارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّـيْنَ وَإِلْهَامَ ﭐلمَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِيْنَ بِرَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحمِيِْنَ 

Maksudnya : Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami sebagaimana orang-orang yang arif, Kurniakanlah kepada kami kefahaman Nabi-Nabi dan ilham para Malaikat yang hampir dengan-Mu, dengan Rahmat-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

5. Doa selepas belajar 
اَللَّهُمَّ إِنِِِّيْ أَسْتَوْدِعُكَ مَا عَلِمْتَنِـيْهِ فَارْدُدْهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ وَلاَ تَنْسَنِيـْهِ يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ 
Maksudnya : Ya Allah, aku pertaruhkan kepada-Mu apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku, maka kembalikanlah semula kepadaku jika aku memerlukannya dan janganlah Engkau buat aku melupainya, Wahai Tuhan Yang Sekalian Alam.

6. Doa mohon dicerdaskan pemikiran 
اَللَّهُمَّ اَلْهِمْنِيْ رَشْدِيْ وَأَعِذْنِى مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ 
Maksudnya : Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan lindungilah dari kejahatan nafsuku.

7. Doa ketika menghadapi peperiksaan/ mohon dilapangkan dada 
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي 
Maksudnya : Ya Allah, lapangkanlah dada (jiwaku) dan permudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.

Doa Menghadapi peperiksaan perkongsian JAKIM

Doa Menghadapi peperiksaan JAKIM

Semoga perkongsian doa, zikir dan doa terang hati ini dapat membantu memudahkan para pelajar dalam pembelajaran dan peperiksaan. Semoga berjaya buat semua dan Semoga  Allah makbulkan doa ibu bapa untuk anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 

6 comments:

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.