10 Tips Persiapan Menuju Ramadhan

Bulan Ramadhan/Ramadan semakin hampir tiba. Sebagai persiapan kita sebelum menempuhi bulan Ramadan yang mulia, amalkan 10 tips atau checklist persiapan menuju Ramadan. Persiapkan diri secara rohani dan mental agar dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih baik.

10 Tips Persiapan Menuju Ramadhan

10 tips persiapan menuju Ramadan

1. Perbetulkan niat

Daripada Umar al-Khattab r.a.:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. —HR Bukhari
• Jika hati dan niat kita telah terfokus hanya untuk mencari keredhaan Allah SWT, maka amal perbuatan kita selepas itu akan menjurus kepadanya juga.
• Persiapkan niat kita untuk menghadapi Ramadan ini hanya kerana Allah SWT

2. Latih diri berpuasa

• Sebaiknya kita melatih diri untuk berpuasa sunat pada bulan sebelumnya; seperti puasa Isnin dan Khamis. Masuk bulan Rejab lazimnya umat Islam sudah mula melatih diri untuk berpuasa sunat.

baca juga : doa dan amalan sunat bulan Rejab

• Menurut sirah, Rasulullah SAW melipatgandakan kuantiti dan kualiti ibadat puasa.

Hal itu diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:

كَانَ رَسُولَ اللهِ يَصُومُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّىَ نَقُولَ: لاَ يَصُومُ، وَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ قَطُّ إِلاَّ رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ فِي شَهْرٍ أَكْثَرَ مِنْهُ صِيَاماً فِي شَعْبَانَ

Maksudnya : “Rasulullah banyak berpuasa (pada bulan Syaaban) sehingga kami mengatakan, baginda tidak pernah berbuka, dan kadang-kadang baginda terus-menerus berbuka hingga kami menganggap baginda tidak berpuasa langsung. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali puasa Ramadan. Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah banyak berpuasa (di luar Ramadan) melebihi Syaaban.”—HR Muslim

3. Pelajari hukum hakam puasa

• Dalami ilmu agama yang berkenaan dengan puasa contohnya hukum-hakam dan fadhilatnya. Jika ada kemusykilan, jangan malu atau segan untuk merujuk kepada mereka yang lebih arif.
• Tujuannya adalah agar apa yang akan diamalkan dalam ibadah puasa lebih bermakna dan bulan Ramadan lebih dihayati.
Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menyebutkan :
“Barangsiapa yang beribadah kepada Allah SWT tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.”

4. Menyelesaikan qada puasa

• Ramai para sahabat Nabi Muhammad SAW di kalangan wanita mengganti puasa-puasa mereka yang tidak sempat terlaksanakan sebelum tibanya bulan Ramadan.

Daripada Saidatina Aisyah r.a. mengatakan :

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Kami dulu mengalami haid. Kami diperintahkan untuk mengqada (mengganti) puasa dan kami tidak diperintahkan untuk mengqada solat.”—HR Muslim

baca juga : cara kira dan bayar fidyah puasa (puasa ganti)

5. Lazimi qiamullail

• Mujahadah untuk bangun malam sebelum tibanya Ramadan (beberapa kali seminggu).

• Hal ini bagi mengelakkan kita daripada liat untuk bangun malam di bulan Ramadan serta memudahkan kita untuk bangun bersahur.
Dr. Sayyid al-Affani berkata :

“Kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada Allah SWT dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat.”

6. Menjaga kesihatan

• Kesihatan haruslah dijaga supaya tubuh bersedia untuk beribadah apabila Ramadan tiba.
• Melatih diri untuk kurangkan jumlah pengambilan makanan supaya tidak sering merasa lapar ketika berpuasa kelak.
• Amalkan juga senaman ringan agar tubuh kekal cergas untuk berpuasa.

7. Memperbanyakkan doa

• Berdoa supaya Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.
• Memohon pada Allah supaya diri dan keluarga sentiasa sihat sepanjang Ramadan.

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya : “Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”—HR Ahmad

8. Melazimi sedekah

• Mulakan amalan bersedekah sedikit semi sedikit daripada sekarang.
• Sedekah tidak semestinya dalam bentuk harta. Ianya termasuk dengan mempamerkan akhlak yang baik, senyuman dan raut wajah yang menyenangkan, meringankan beban dan membantu orang lain.
• Boleh juga kenalpasti jiran tetangga yang kurang berkemampuan dan hulurkan bantuan kepada mereka.

9. Membaca al- Quran & zikir

Daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Maksudnya : “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”—HR Muslim

• Mulakan membaca Al-Quran dan lazimi zikir supaya ia menjadi satu kebiasaan.
• Memperkemaskan bacaan Al-Quran dengan pelajari ilmu tajwid.
• Bila Ramadan tiba, amalan ini diteruskan dengan beberapa penambahbaikan seperti membaca terjemahan dan mentadabbur ayat-ayatnya.

10. Merancang target Ramadan

• Target untuk khatam al-quran (rancang berapa helai atau juzuk yang akan dibaca dalam sehari supaya dapat khatam sebelum Ramadan berakhir).
• Target untuk bersedekah.
• Target untuk solat sunat (solat sunat rawatib, dhuha, tarawih, tahajud, taubat, hajat, dan lain2).

Daripada Hasan al-Basri :

فَالْعَجَبُ مِنَ اللَّاعِبِ الضَّاحِكِ، فِي اليَوْمِ الَّذِي يَفُوْزُ فِيْهِ الْمُحْسِنُوْنَ

Maksudnya : “Maka amat menghairankan bagi mereka yang bermain-main dan bergelak ketawa (tidak bersedia untuk Ramadan) dalam hari orang-orang yang baik itu sedang berjaya (dalam mempersiapkan diri untuk Ramadan).—Ibn Rajab, Bughya al-Insan

Semoga kita semua akan menempuh Ramadan kali ini dengan penghayatan yang berbeza dan lebih bermakna serta mendapat keberkatan. Aamiin...

10 comments:

  1. Semoga Ramadhan kali ini, lebih berkah dan lebih terisi.

    ReplyDelete
  2. Aamiiin, tak sabar rasanya nak ramadhan lagi ❤️. Hutang masih ada, tapi dah tak banyak. Kalo dah selesai masa period, langsung lah nak Fanny lunaskan kak.

    Untuk Alquran memang dah harus dibaca mulai skr supaya bisa khatam pas ramadhan berakhir

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat menghabiskan hutang sebelum Ramadan. Alhamdulillah..teruskan.

      Delete
  3. Alhamdulillah . Semoga kita sama-sama dapat bertemu bulan Ramadhan untuk tahun ni

    ReplyDelete
  4. skrg masih panas dgn program subuh mcm jumaat. so sempena ramadan ni elok sgt kita sahut cabaran tu. alg2 dah bgn sahur why not lps tu bleh berjemaah di surau/masjid

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kannn...alang-alang tu, join the jemaah solat subuh macam solat jumaat.

      Delete

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.