Niat Puasa Sunat Ayyamul Bidh (Hari Putih) Bulan Syaaban 1444H/ 2023 Dan Kelebihannya
Bulan Syaaban salah satu bulan yang mempunyai kelebihan dan keistimewaannya kerana hampirnya dengan bulan Ramadan yang jelas mendapat kemuliaan daripada Allah SWT.
Malah pada pertengahan Bulan Syaaban (Nisfu Syaaban) antara malam dinantikan oleh umat Islam kerana terdapat dalam hadis (hadith) riwayat mengenai pengampunan daripada Allah SWT yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban.
Lazimnya, umat Islam akan memperbanyakkan amalan di bulan Syaaban dengan melakukan berbagai aktiviti ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti berpuasa, solat, membaca al-Qur'an, berdoa, bersedekah, bertahlil, berwirid dan sebagainya.
Kelebihan puasa sunat bulan Syaaban
Umat Islam digalakkan untuk memperbanyak puasa sunat dalam bulan Syaaban. Hal ini berdasarkan sebuah hadis :عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W :
“Wahai Rasulullah S.A.W, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Syaaban.
Baginda bersabda : Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rabb semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa”.—Hadis Riwayat an-Nasai No: 2317–Status : Hasan
شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ
Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadan waktu menuai hasil.
Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya : “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. —Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665
baca juga : puasa sunat dan kelebihan bulan Syaaban
Puasa sunat Ayyamul Bidh (Hari Putih)
Selain amalan puasa sunat hari Isnin dan Khamis, di dalam bulan Syaaban juga digalakkan untuk berpuasa Ayyamul Bidh iaitu Puasa Hari Putih dan juga puasa sunat Nabi Daud A.S.Bagi mereka yang belum menghabiskan puasa ganti, boleh gabungkan niat untuk puasa ganti yang belum diselesaikan lagi sebelum Ramadan tiba.
Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya berkata :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
"Rasulullah ﷺ memerintahkan pada kami untuk berpuasa pada ayyamul bidh iaitu 13, 14, dan 15 (dari bulan Hijriyah). Dan Beliau bersabda : pahala hari-hari tersebut seperti puasa setahun"—Hadis Sahih Riwayat Abu Daud
Dari Abu Dzar, Rasulullah bersabda :
Jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulannya, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14, dan 15 (dari bulan Hijriyah).”
Jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulannya, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14, dan 15 (dari bulan Hijriyah).”
- Hadis riwayat Tirmizi dan an-Nasa’ie
Tarikh puasa sunat Hari Putih Syaaban 1444H/ Mac 2023
Bermula hari Isnin hingga Rabu (6, 7 & 8 Mac 2023) adalah Puasa Hari Putih bersamaan 13,14 & 15 Syaaban 1444H.
Niat puasa sunat Hari Putih (Ayyamul Bidh)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ اْلبِيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Niat puasa sunat hari putih dalam rumi : Nawaitu sauma ayyaamal bidh sunnatan lillahi ta’ala
Maksudnya : Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.
Kelebihan puasa Hari Putih
Ibadah puasa banyak fadhilatnya dalam pembentukan iman dan kesihatan diri. Bagi sesiapa yang berpuasa hari putih ini adalah antara kelebihan puasa hari putih yang diperolehi adalah seperti :1. Pahala ibarat berpuasa sepanjang tahun
Bayangkan kita berpuasa sepanjang tahun tanpa henti selama 365 hari. Nescaya tiada yang terdaya dan mampu melakukannya. Beruntungnya kita dapat ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun dengan berpuasa pada hari putih.Merujuk pada hadis :
صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ
Maksudnya : “Puasa tiga hari dari setiap bulan, dan bulan Ramadan ke bulan Ramadan adalah puasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim)
2. Meningkatkan daya imun badan menjadi kuat dan bertenaga
Dengan amalan berpuasa dapat meningkatkan ketahanan tubuh badan di samping mengelakkan dari pelbagai penyakit.Sudah banyak kajian yang dijalankan dari dalam dan luar negara oleh orang Islam atau bukan Islam lalu mendapatkan hasil yang sama. Ketahanan tubuh manusia yang berpuasa lebih baik daripada yang tidak berpuasa.
3. Amalan yang menjadi wasiat Rasulullah SAW
Salah satu wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Hurairah RA adalah dengan berpuasa tiga hari dalam setiap bulan. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّكَ لَتَصُومُ الدَّهْرَ، وَتَقُومُ اللَّيْلَ؟» ، فَقُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ هَجَمَتْ لَهُ العَيْنُ، وَنَفِهَتْ لَهُ النَّفْسُ، لاَ صَامَ مَنْ صَامَ الدَّهْرَ، صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ» ، قُلْتُ: فَإِنِّي أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: «فَصُمْ صَوْمَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا، وَلاَ يَفِرُّ إِذَا لاَقَى»
Bermaksud : “Aku mendengar Abdullah bin `Amru bin al-`As RA katanya, Nabi SAW bersabda: Bahawasanya engkau berpuasa sepanjang tahun dan bangun di waktu malam? Jawabku, “Ya.”, Nabi SAW menjawab: Bahawasanya engkau jika engkau lakukan yang demikian, cengkung matamu dan lemah dirimu. Tiada puasa bagi orang yang puasa sepanjang tahun. Puasa tiga hari (dalam sebulan) adalah puasa sepanjang tahun. Aku menjawab: Aku mampu lebih daripada itu, Nabi SAW menjawab: Puasalah puasa Nabi Daud AS Baginda Nabi Daud AS berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Nabi Daud tidak lari ketika bertemu.” - (Hadis Riwayat Sahih Bukhari)
4. Merasai hikmah bagaimana kepayahan hidup fakir miskin
Dengan berpuasa mengajar kita untuk mensyukuri segala nikmat yang ada apabila melihat kepayahan hidup orang lain yang miskin dan tidak berkemampuan untuk meneruskan kehidupan.5. Membersihkan jiwa
Secara tidak lansung dengan berpuasa dalam mendidik diri membersihkan jiwa untuk menjauhi sifat-sifat mazmumah dan melazimkan dengan sifat-sifat mahmudah. Amalan berpuasa juga dapat melatih diri dari segi spiritual, rohani, dan jasmani.Puasa sunat Isnin dan Khamis
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda :تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya : “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”- (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)
Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah r.a. berkata :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya : “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.”- (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
Puasa Nabi Daud A.S
Kaedah puasa Nabi Daud a.s. dilakukan secara selang-seli iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa. Ia merupakan puasa yang terbaik dan dicintai Allah SWT.Abdullah bin Amar r.a. berkata, Rasulullah SAW berkata kepadaku:
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللهِ صَلَاةُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ
Maksudnya : “Puasa yang paling disukai oleh Allah SWT ialah puasa Nabi Daud. Baginda berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari. Dan solat yang paling disukai oleh Allah SWT ialah solat Nabi Saud. Baginda tidur pada pertengahan malam, ibadah pada satu pertiga malam dan tidur pada satu perenam malam yang berbaki.”—HR Bukhari, hadis sahih
Niat puasa Nabi Daud A.S
نَوَيْتُ صَوْمَ دَاوُدَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَىNiat puasa Nabi Daud A.S dalam rumi : Nawaitu shauma daawuda sunnatan lillahi ta'ala.
Maksudnya : "Sahaja aku puasa sunat daud kerana Allah Ta'ala,"
Untuk lebih mudah difahami, Isnin puasa, Selasa tidak puasa, Rabu puasa, Khamis tidak puasa, Jumaat puasa, Sabtu tidak puasa, Ahad puasa, Isnin tidak puasa dan seterusnya.
Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menjelaskan berkenaan puasa Nabi Daud A.S. bahawa:
“Jika hari yang tidak berpuasa (puasa Nabi Daud a.s.), kemudian jatuhnya pada hari itu, disunnahkan untuk berpuasa seperti hari Arafah dan Asyura, yang utama ialah melakukan juga puasa pada hari tersebut. Ia tidaklah menghalang kelebihan berpuasa cara Nabi Daud a.s.”
Berikut cadangan hari dan tarikh menggabungkan puasa-puasa Sunat Isnin Khamis, Puasa Hari Putih dan Puasa Nabi Daud A.S
Isnin (6 Syaaban 1444H, 27 Feb 2023) - puasa sunat Isnin & nabi Daud
Rabu (8 Syaaban 1444H, 1 Mac 2023) - puasa nabi Daud
Khamis (9 Syaaban 1444H, 2 Mac 2023) - puasa sunat Khamis
Jumaat (10 Syaaban 1444H, 3 Mac2023) - puasa nabi daud
Ahad (12 Syaaban 1444H, 5 Mac 2023) - puasa nabi Daud
Isnin (13 Syaaban 1444H, 6 Mac 2023)- puasa sunat Isnin & hari putih
Selasa (14 Syaaban 1444H, 7 Mac 2023) - puasa hari putih & nabi Daud
Rabu (15 Syaaban 1444H, 8 Mac 2023) - puasa hari putih
Khamis (16 Syaaban 1444H, 9 Mac 2023) - puasa hari Khamis & nabi Daud
Sabtu (18 Syaaban 1444H, 11 Mac 2023) - Puasa nabi Daud
Isnin (20 Syaaban 1444H, 13 Mac 2023) - Puasa sunat Isnin & nabi Daud
Rabu (22 Syaaban 1444H, 15 Mac 2023) - Puasa nabi Daud
Khamis (23 Syaaban1444H, 16 Mac 2023) - Puasa sunat Khamis
Jumaat (24 Syaaban 1444H, 17 Mac 2023)- Puasa nabi Daud
Ahad (26 Syaa'ban 1444H, 19 Mac 2023) - Puasa nabi Daud
Isnin (27 Syaaban1444H, 20 Mac 2023) - Puasa sunat Isnin
Niat Ganti Puasa (Qadha)
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً ِللهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Sahaja aku berpuasa pada esok hari kerana menggantikan daripada fardhu Ramadhan kerana Allah Taala”
baca juga : cara kira dan bayar fidyah puasa
Selamat menunaikan ibadah puasa sunat. Semoga Allah berkati segala amal ibadah yang kita lakukan, pelihara kita daripada godaan nafsu dan kurniakan rahmat-Nya. Aamiin...
sumber : Ustazah Asma' Harun | sinar + | mysihat
Post a Comment