4 Amalan Penting Sewaktu Hari Arafah, Perkongsian Dari Ustazah Asma' Harun

Menarik untuk saya kongsikan 4 amalan penting sewaktu Hari Arafah, perkongsian dari Ustazah Asma' Binti harun di facebook. 

Di dalam bulan Zulhijjah ini, terdapat satu hari yang dikatakan antara hari yang paling mulia di sisi Allah SWT iaitu hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana pada hari itulah agama Islam ini disempurnakan.

Terdapat hadith daripada riwayat Umar bin al-Khattab R.A bahawa suatu hari seorang lelaki Yahudi berkata kepadanya :

يَا أَمِيرَ الـمُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَـقْرَءُونَـهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَـزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: {اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا} قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنـَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالـمَكَانَ الَّذِي نَـزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ

Maksudnya : “Wahai Amirul Mukminin, ada satu ayat dalam kitab kamu yang sering kamu baca, jika ayat itu diturunkan kepada kami, nescaya kami akan jadikan hari turunnya ayat tersebut sebagai hari perayaan orang yahudi.” Umar bertanya: “Ayat yang mana?” Yahudi tersebut membacakan :

‘اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا’

(Maksudnya : “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”) —Surah al-Ma’idah : 3

Umar menjawab : ‘Kami mengetahui hari dan di mana tempat ia diturunkan kepada Nabi SAW, iaitu ketika Baginda SAW sedang berdiri di ‘Arafah pada hari Jumaat.’”—HR Bukhari dan Muslim

Pada hari Arafah ini jugalah, para jemaah haji akan melaksanakan rukun haji yang paling penting iaitu berwukuf di padang Arafah. Manakala umat Islam yang tidak mengerjakan Haji disunatkan untuk memperbanyakkan melakukan amal soleh seperti bertahmid, bertakbir dan berzikir kepada Allah SWT.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda :

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”—HR Bukhari, hadis sahih

Hari Arafah bukan sahaja peluang terbaik buat para jemaah haji sahaja, bahkan ia sebenarnya adalah peluang keemasan buat seluruh umat Islam. Rebutlah tawaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan.

4 Amalan Penting Sewaktu Hari Arafah
sumber : Ustazah Asma' Harun

4 AMALAN PENTING SEWAKTU HARI ARAFAH

1. MEMPERBANYAK DOA
Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, Nabi Muhammad SAW bersabda :
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya : “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”—HR al-Tirmizi, hadis Hasan

2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Daripada Abi Qatadah r.a., Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah :
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya : “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.”—HR Muslim, hadis sahih

Bagi orang yang TIDAK menunaikan haji, disunatkan berpuasa pada hari Arafah. Bagi para jemaah Haji, tidak disunatkan untuk berpuasa pada hari Arafah.

LAFAZ NIAT PUASA SUNAT ARAFAH
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya : "Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah ta'ala."

3. BERZIKIR DI HARI ARAFAH
Rasulullah SAW bersabda :
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَأَفْضَلُ مَا قِلَّتُهُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي : لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ, لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ. رواه الإمام مالك
Maksudnya : "Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah. Dan sebaik-baik perkataan yang aku ucapkan begitu juga para Nabi sebelumku adalah ‘Laa Ilaaha Illallaahu Wahdahu Laa Syariika Lahu, Lahul Mulku Wa Lahul Hamdu Yuhyii Wa Yumiitu Wa Huwa 'Alaa Kulli Syai'in Qodiir’ (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu)."—HR Imam Malik, hadis sahih

4. MEMOHON ISTIGHFAR KEPADA ALLAH SWT
Ambillah peluang untuk bertaubat dan memohon ampun sebanyak-banyaknya kerana Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka. Pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.

Daripada Aisyah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda :
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya : “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah.”—HR Muslim, hadis sahih

Sesungguhnya ini adalah kesempatan emas untuk kita menyucikan dan memperbaiki diri sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha. Semoga ia dapat menjadi penambah saham pahala untuk kita di akhirat nanti.


Waktu doa mustajab Arafah

Bermula masuk waktu Zuhur hingga waktu Maghrib

Waktu Saudi
9 Zulhijjah 1444H, Selasa 27 June 2023
Zuhur : 12:23pm
Maghrib : 7:06pm

Bersamaan waktu Malaysia 
8 Zulhijjah 1444H, Selasa 27 June 2023
Waktu : 5:23pm
Waktu : 12:06am

Bagi yg berada di Malaysia, Puasa pada hari Selasa di kira puasa hari Tarwiyah manakala Puasa pada hari Rabu dikira puasa Arafah. Bagi yang ingin mengambil manfaat waktu yg sama dengan waktu Arafah di Saudi, rujuk waktu seperti diatas.
 
Semoga Allah qabulkan segala doa dan hajat kita serta diberikan apa yang terbaik

Facebook : Ibnubahari

2 comments:

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.