Telefilem Mimpi Sumi (TV9)

Tonton Telefilem Mimpi Sumi lakonan utama Redza Rosli, Sazzy Falak dan Aryanna Alyssa Dezek tayangan pada hari Isnin, 10 Julai 2023, jam 8.30 malam di Slot Skrin di 9 TV9. 

Mimpi Sumi, telemovie genre psikothriller yang memaparkan kisah mengenai pedofilia yang ditulis oleh Abdul Nasir Abdul Khalil dan diarahkan oleh pengarah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin. 

TELEFILEM MIMPI SUMI

Waktu siaran : Isnin, 10 Julai 2023, jam 8.30 malam
Siaran TV/ Platform penstriman : Slot Skrin di 9 TV9, astro (CH149), myFreeview 109, Tonton
Penulis skrip : Abdul Nasir Abdul Khalil
Pengarah : Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin
Produksi : Aquila Emas Sdn. Bhd.

Telefilem Mimpi Sumi TV9

PELAKON DAN WATAK

Pelakon Mimpi Sumi dibintangi oleh Redza Rosli, Sazzy Falak, Aryanna Alyssa Dezek, Melanie Tan, Zizan Nin dan ramai lagi.
  • Redza Rosli sebagai Asyar
  • Sazzy Falak sebagai Daniella
  • Aryanna Alyssa Dezek sebagai Eyda
  • Melanie Tan sebagai Mira
  • Zizan Nin sebagai Haikal

PELAKON, WATAK DAN SINOPSIS MIMPI SUMI

Mimpi Sumi, Keluarga baru Daniella cukup bahagia apabila anaknya Eyda dan suami barunya Asyar kelihatan serasi bersama. Namun, tidak lama kemudian setelah menyambut ulangtahun perkahwinan pertama mereka, bekas suami Daniella, Haikal muncul kembali untuk menuntut hak lawatan terhadap anaknya.

Tragedi hitam berlaku tiba-tiba apabila pada suatu hari Eyda tergelincir dari tingkap banglo semasa tinggal berseorangan di rumah dan meninggal dunia. Hasil siasatan menunjukkan bahawa kejadi tersebut disebabkan kemalangan.

Daniella bertarung untuk menghadapi situasi kehilangan anak tunggalnya. Tekanan yang diterimanya mengakibatkan dia kemurungan, mula berhalusinasi, mengalami episod-episod 'blackout' sehinggalah dia seperti cuba membunuh diri. 

Asyar cukup tenang, bersabar dan mencuba pelbagai usaha untuk memberikan kekuatan dan perangsang agar Daniella kembali pulih. 

SERAKAH SEORANG PEDOFILIA DALAM MIMPI SUMI
Sangat bermanfaat untuk ditonton bagi meningkatkan pemahaman masyarakat tentang aplikasi pendekatan terapi seni dalam membantu ibu ayah memerhatikan perubahan tingkah laku anak-anak kita. Kita tidak tahu siapa mereka, tetapi hati-hati kerana mereka berkeliaran mencari mangsanya.

Pengalaman saya sebagai seorang Kaunselor Berdaftar yang mengaplikasikan pendekatan Terapi Seni Ekspresif dalam sesi kaunseling yang saya kendalikan, kebanyakan ibu bapa telah diberikan 'clue' oleh mangsa atau anak-anak tetapi ibu bapa tidak memahaminya. Dalam cerita ini watak ibu yang dilakonkan oleh Sazzy Falak perlu dipuji kerana berjaya membawa watak yang mencabar sebagai seorang ibu yang berhadapan dengan suami pedofilia dan mangsanya pula anak beliau sendiri iaitu Eyda yang berusia 8 tahun.
 
Saya ternanti-nanti 'scene' di mana watak Sazzy menjadi seorang ibu yang lebih fokus dan tenang dalam proses 'penyiasatan' tersebut. Secara tidak langsung, MIMPI SUMI mendidik penonton cara untuk menangani isu-isu yang kritikal sekiranya berlaku dalam keluarga kita. Tenang dan tidak terburu-buru dalam menangani isu-isu yang kita tidak faham dan tidak tahu untuk menyelesaikannya. Dapatkan bantuan segera.

MIMPI SUMI turut mendidik ibu bapa cara yang betul dalam menguruskan masa berkualiti bersama-sama anak dengan lukisannya. Kebanyakan ibu ayah 'excited' bertanya itu dan ini dalam lukisan anak-anak. Itulah 'kesilapan' yang biasa dilakukan oleh ibu bapa yang dipaparkan dalam scene Daniella bersama Eyda di dapur ketika dia berkongsi lukisannya dengan si ibu.

Dalam situasi ini seharusnya ibu ayah berada dalam keadaan tenang dan bersedia menjadi pendengar yang baik kepada si anak kerana perlu diingat bahawa masa tersebut adalah untuk anak bercerita meluahkan apa yang dirasa. Bila kita tenang mendengar, banyak perkara yang boleh kita faham dan celik akal akan berlaku. Beri ruang anak bercerita dan rasakan perasaan yang ingin dikongsikan kepada kita menerusi lukisan tersebut.

MIMPI SUMI juga membawa mesej penting untuk masyarakat agar melihat akan kepentingan dan peranan individu yang berada dalam profesion membantu seperti psikatrik, doktor, psikoterapi, pegawai psikologi, kaunselor dan kumpulan sokongan secara sukarela, NGO dan sebagainya; dalam membantu individu yang berhadapan dengan isu-isu kronik seperti pedofilia ini. Dapatkan bantuan mereka yang pakar, bukan mengasingkan diri atau mengurung anak2 ini dalam rumah atau cuba menyelesaikannya dengan cara anda sendiri.

Saya suka scene di mana watak ibu yang dilakonkan oleh Sazzy melakukan 'tracing' pada tulisan yang telah dipadam oleh Eyda pada kertas lukisan tersebut. Itu juga merupakan salah satu cara atau teknik yang biasa saya gunakan apabila klien suka memadam lukisan atau tulisan yang dihasilkan di atas kertas lukisan.

Syabas kepada karyawan yang menghasilkan telemovie yang sangat bermanfaat seperti ini kepada masyarakat. Pastinya ucapan tahniah kepada YM Raja Mukhriz Raja Ahmad dan team MIMPI SUMI atas penghasilan karya yang berkualiti ini. Pasti ucapan tahniah ini saya tujukan kepada penulis skripnya, yang teliti dan melakukan 'homework' yang cemerlang dalam menghasilkan produk yang berkualiti ini. Syabas kepada semua pelakon hebat yang menjayakan MIMPI SUMI!

Semoga banyak lagi naskah atau karya yang mengandungi unsur 'psychoeducation' seperti ini dihasilkan untuk tontonan masyarakat, sekaligus meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap isu dan permasalahan yang dihadapi disekeliling mereka.

Sensitif terhadap perubahan tingkah laku dan emosi anak-anak kita. Moga Allah SWT merahmati keluarga kita dan dipermudahkan segala urusan kehidupan kita semua di dunia dan akhirat. R-E-S-T ME : ANDA BERHAK BAHAGIA DAN BERJAYA
Rafidah Kastawi

No comments

Segala komen-komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri.
Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan.
Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url, mengandungi kata-kata maki hamun atau tidak menyenangkan tidak akan disiarkan.
Begitu juga dengan unknown profile. Harap Maklum. Sekian Terima kasih.

Powered by Blogger.